Belia Perlu Menjadi Agen Keamanan di Malaysia

Belia Perlu Menjadi Agen Keamanan di Malaysia

Malaysia bakal menggalas tanggungjawab besar apabila mengambil alih kerusi Pengerusi ASEAN tidak lama lagi. Ketika ini, landskap geopolitik serantau semakin mencabar, dengan ketegangan di Laut China Selatan, krisis kemanusiaan di Myanmar, serta ketidaktentuan hubungan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China yang memberi kesan langsung kepada kestabilan rantau ini.

Dalam kerangka ini, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, amat dinanti-nantikan untuk memacu kepentingan serantau secara berprinsip dan adil. Pendekatan Malaysia yang berteraskan nilai MADANI, khususnya konsep Ihsan, boleh menjadi asas kepada penyelesaian damai yang lebih manusiawi dan inklusif.

Belia – yang hari ini diangkat sebagai pemimpin dalam pelbagai lapisan masyarakat – perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam mendukung agenda keamanan. Nilai Ihsan harus diterjemahkan dalam tindakan, bukan sekadar slogan. Ini termasuk sikap empati terhadap mereka yang tertindas, kefahaman antara budaya, serta keterbukaan dalam berdialog dan mencari titik persamaan, bukan perbezaan.

Namun, generasi belia hari ini turut berhadapan cabaran yang tidak kecil. Kehadiran Generasi Alpha yang membesar dengan teknologi, namun semakin menjauh dari nilai-nilai kekeluargaan dan agama, membimbangkan. Kandungan media sosial yang melalaikan, budaya tular yang melampaui batas, serta krisis identiti yang tidak ditangani dengan baik, menjadi ancaman kepada pembentukan jati diri belia.
Perlu diakui, belia merupakan golongan yang sinonim dengan idea-idea progresif dan keberanian mencuba pendekatan baharu. Dalam konteks ini, mereka menjadi aset penting untuk memacu perubahan yang lebih segar, seganding dengan prinsip keamanan dan keharmonian.

Antara langkah praktikal yang boleh dilaksanakan ialah penglibatan terus belia dalam khidmat sosial dan program kesukarelawanan. Dialog antara agama (interfaith dialogue) yang konsisten juga penting untuk membina persefahaman antara komuniti. Selain itu, rumah-rumah ibadat – tidak kira masjid, gereja, kuil atau tokong – perlu dilihat bukan hanya sebagai tempat ibadah, tetapi sebagai pusat pemerkasaan komuniti belia, tempat rundingan sosial, serta medan membina solidariti rakyat pelbagai latar belakang.

Harapan besar diletakkan di bahu belia untuk menjadi agen keamanan yang bukan sahaja memahami cabaran dunia moden, tetapi juga membawa nilai ihsan dan kemanusiaan ke hadapan. Semoga belia Malaysia bukan sekadar penumpang dalam arus perubahan, tetapi menjadi pendayung utama ke arah negara dan rantau yang lebih aman, bersatu dan berperikemanusiaan.

 

Profil Penulis:
Amiruddin Ahmad bin Abdul Jalil
Setiausaha Agung Persatuan KHUDDAM Malaysia
Pengemudi Forum Keamanan: Peranan Belia Dalam Mempromosikan Keamanan

Submit a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *